Sunday, September 27, 2009

kosmo 28/9/2009

Posted on 2:06 PM by red warrior

Hadiah tugas pertama Sathianathan

HADIAH yang sungguh bermakna.

Itu pengakuan jurulatih baru Kelantan, B. Sathianathan, laporLUQMAN HAKIM AB. RAHIM.

Dia lega apabila melihat anak didiknya berjaya membenam cabaran pasukan Pulau Pinang di Stadium Negeri Batu Kawan, Sabtu lalu.

Pada perlawanan itu, Kelantan menang 2-1.

Tiga mata berharga itu menjadikan pasukan dengan jolokan Kijang itu unggul menghuni tangga teratas Kumpulan E dan berada di landasan terbaik untuk melangkah ke saingan suku akhir.

Gol pertama dihasilkan melalui ketua pasukan, Indra Putra Mahyuddin menerusi sepakan penalti manakala gol kemenangan disempurnakan penyerang veteran, Khalid Jamlus.

Meskipun persembahan pasukan ini goyah pada separuh masa pertama sehingga memberi peluang kepada lawan untuk merobek gawang mereka, namun mereka pantas bangkit untuk memperkemaskan lagi gaya pergerakan.

Menurut Sathianathan, ekoran terlalu lama berehat, pemainnya menjadi lambat panas sehingga hilang punca dan tersentak dengan gerakan pantas yang diatur oleh jentera tengah pasukan lawan.

Katanya, persembahan anak buahnya serba tidak menjadi dan berada di bawab tahap sebenar sehingga membenarkan pasukan Pulau Mutiara itu menguasai perlawanan.

"Agak cemas pada mulanya kerana bimbang akan terus ketinggalan dengan jumlah gol yang besar.

"Bila masuk separuh masa kedua, semua pemain all-out, kita banyak menyerang dan menemui semula rentak permainan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau yang masih baru membimbing pasukan Kijang itu melontarkan pujian kepada semua pemain yang rata-ratanya bergerak aktif untuk mencari ruang dan bijak memanfaatkan peluang yang ada.

Mengenai persiapan menentang Kedah esok, Sathianathan mahu semua pemain bangkit menunjukkan prestasi sebenar dan mengekalkan momentum kemenangan bagi memudahkan tugas mereka menempah tiket ke suku akhir.


No Response to "kosmo 28/9/2009"

Leave A Reply