Thursday, September 24, 2009

Sathia..

Posted on 12:00 AM by red warrior

Sathia janji bawa perubahan


SATHIANATHAN (kanan, depan) diperkenalkan kepada barisan pemain Kelantan kelmarin.


"SAYA tak pernah jumpa sebuah pasukan yang memiliki penyokong yang begitu fanatik dan setia di belakang pasukan. Itulah sebabnya saya ke sini".

Demikian ujar ketua jurulatih baru Kelantan, B. Sathianathan yang akan menerajui Sang Kijang pada kempen Piala Malaysia 2009 yang bermula Sabtu ini, lapor KHAIRI MOHAMAD.

Menurutnya, beliau sudah lama mengikuti perkembangan pasukan Kelantan dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini pasukan ini serius untuk meningkatkan martabat bola sepak mereka.

"Kelantan kini begitu serius dalam menaikkan mutu bola sepak mereka dan mereka ada cita-cita dan sasaran untuk menjadi gergasi bola sepak negara.

"Dengan adanya beberapa pemain yang berkaliber serta memiliki nama besar dalam dunia bola sepak di negara ini, saya yakin pilihan saya kali ini tepat," katanya ketika ditemui malam kelmarin.

Tambahnya, sokongan daripada peminat juga memainkan peranan yang begitu besar dalam bola sepak dan di Kelantan mereka terlalu gilakan bola.

Jelasnya, beliau tidak menolak berdepan dengan tekanan yang begitu memuncak berikutan harapan peminat yang terlalu tinggi.

"Pengalaman semasa menjadi jurulatih negara mungkin memberi kelebihan kepada saya untuk mengawal tekanan yang ada dan sebagai jurulatih tekanan adalah satu cabaran yang baik.

"Sasaran Kelantan untuk kempen Piala Malaysia jelas dan saya harap saya mampu realisasikan harapan pihak pengurusan dan peminat," jelasnya.

Sathianathan sebelum itu menghadiri majlis memperkenalkan beliau secara rasmi sebagai ketua jurulatih Kelantan kepada pemain dan peminat ketika perlawanan persahabatan antara Kelantan dan Pilihan Afrika yang berkesudahan seri 1-1 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam kelmarin.

Sementara itu, ketua pasukan baru Kelantan, Indra Putra Mahyuddin berkata, beliau dan pemain lain tiada masalah untuk memberi kerjasama kepada jurulatih baru mereka.

"Secara peribadinya saya tiada masalah dengan beliau dan saya sudah bersama beliau sejak pada usia belasan tahun lagi selain bersama dengan skuad kebangsaan sebelum ini," jelas Indra.

"Sebagai pemain, kami perlu cepat menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan yang berlaku dalam pasukan ini termasuk menerima kehadiran jurulatih yang baru."

No Response to "Sathia.."

Leave A Reply