Wednesday, September 30, 2009

Posted on 2:04 PM by red warrior

'Saya sayangkan bola sepak'


SATHIANATHAN (kiri) kini memikul tanggungjawab besar dalam membimbing pasukan Kelantan mengharungi kempen Piala Malaysia.


"SAYA sayangkan bola sepak dan Liga Malaysia, sebab itu saya kritik."

Demikian ujar jurulatih Kelantan, B. Sathianathan ketika ditanya kenapa beliau menerima tawaran sebagai jurulatih Kelantan sedangkan beliau antara yang lantang mengkritik Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini.

Menurutnya, komen yang diberikan adalah untuk tujuan meningkatkan mutu bola sepak tempatan dan Liga M bagi menjamin kelangsungan masa depan bola sepak tempatan.

"Ramai orang kritik tentang liga kita, kenapa bila saya kritik orang tidak boleh menerimanya sedangkan ia adalah untuk kebaikan.

"Bola sepak adalah periuk nasi saya, kalau liga kita merosot, penonton tak datang ke stadium, macam mana saya mahu cari makan," katanya pada sidang media sejurus selepas perlawanan antara Kelantan dengan Kedah tamat di Kota Bharu kelmarin.

Tambahnya, kritikan dan teguran perlu dilihat dari sudut yang positif supaya proses penambahbaikannya dapat dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab

Sementara itu, beliau menyifatkan kemenangan Kelantan menumpaskan Kedah 1-0 adalah disebabkan faktor nasib dan masih banyak kelemahan perlu diperbaiki oleh pemainnya.

Menurutnya, anak-anak buahnya mampu untuk bermain dengan lebih baik berbanding aksi yang dipamerkan malam kelmarin.

"Kurang latihan serta perlawanan persahabatan terutama ketika di bulan Ramadan menyaksikan tahap kecergasan pemain masih kurang.

"Seperti perlawanan terdahulu ketika bertemu Pulau Pinang, kita gagal mempamerkan aksi sebenar, namun, jelas nasib berpihak pada kita dan kita berjaya mengumpul enam mata setakat ini," ujarnya.

Jelasnya, beliau begitu optimis Kelantan mampu memecah dominasi beberapa pasukan gergasi dalam negara untuk pada saingan Piala Malaysia edisi kali ini.

Katanya, beberapa kelemahan yang dikenalpasti akan segera diatasi untuk perlawanan seterusnya menentang Angkatan Tentera Malaysia di gelanggang lawan.

"Kita memiliki banyak peluang tetapi pemain terlalu gopoh dan mereka sepatutnya menggunakan kemahiran yang mereka ada dan bukannya terbawa-bawa dengan emosi.

"Pujian juga harus diberikan kepada pasukan Kedah kerana aksi yang cukup baik dipamerkan sehingga berjaya menguasai babak pertama perlawanan," ujarnya.


No Response to " "

Leave A Reply